Sesiapa mempunyai artikel yang best serta bersesuaian mengenai Islam yang mahu disiarkan di sini beserta nama anda, sila emailkan kepada admin@loveloveislam.com

We Love Islam Followers

NoAds!"Love Love Islam" adalah sebuah blog non-commercial. Tiada Iklan. Blog ini diwujudkan untuk berdakwah dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Promosi dan iklankanlah "Love Love Islam" di blog anda atau di mana sahaja dengan niat untuk berdakwah. Terima Kasih. - Admin Love Love Islam

Monday, August 30, 2010

RAMADHAN ADALAH SUATU PERSIMPANGAN

Oleh : md zainal mzd

Dalam sebuah hadis, Rasulullah ada bersabda:

“ Apabila masuknya Ramadhan maka berserulah para malaikat, “ Wahai pelaku-pelaku kebaikan, bergerak majulah dan wahai pelaku-pelaku kejahatan, berhentilah dan berundurlah.””

Sementara Ramadhan masih ada berbaki sedikit sangat lagi ini eloklah kita halusi intipati hadis Rasulullah seperti di atas. Kita sedia maklum bahawa Rasulullah tidak bersabda sia-sia melainkan dipandu oleh wahyu Allah dan para malaikat adalah makhluk Allah yang tidak pernah engkar akan suruhanNya.

Ramadhan sentiasa datang dan pergi setiap tahun tetapi bagaimanakah kita menyambut dan menyediakan diri secara mental dan fizikal setiap kali kedatangannya.

Maju dalam menghayati Ramadhan termasuk dalamnya tiga perkara:

1 Melakukan apa yang kita tidak lakukan sebelum ini ( sekadar beberapa contoh ):
Bukan satu perkara yang pelik kalau ada antara umat Islam tidak berpuasa atau hanya berpuasa tetapi tidak pernah solat apatah lagi solat terawih. Kalau itulah keadaan kita dahulu, marilah tahun ini kita mulakan berpuasa dan patuh kepada syarat-syaratnya. Di samping berpuasa marilah kita menunaikan solat waktu dan solat tarawih. Kalau malu untuk memulakan solat di kariah sendiri nanti orang tahu, moleklah kita pergi ke mesjid yang jauh sedikit dari rumah kita, Di sisi Allah dalam perkara-perkara begini tidak ada salahnya demi kebaikan.

Dalam menghayati Ramadhan terdahulu kita tidak pernah pun membaca Al Quran, maka kali ini marilah kita memulakan membaca Al Quran, kalau dulu hanya membaca tetapi kurang menitikberatkan atau mementingkan hukum-hakam tajwidnya (walaupun ianya adalah wajib), marilah kita mulakan perlahan-lahan berubah ke arah itu. Sesungguhnya kita tidak dimestikan khatam satu Al Quran kalau tidak mampu tetapi usaha ke arah itu mestilah sentiasa ada.

Di tahun yang lalu kita tidak pernah iktikaf awal dalam masjid, hanya masuk dan hadir di saat-saat akhir sebelum solat dan balik secepat mungkin sebaik sahaja memberi salam maka mulai sekarang marilah kita datang awal sedikit, lakukan solat sunat qabliah dan lewatkan sedikit waktu pulang dengan melakukan solat sunat bakdiah atau lain-lain, atau sekurang-kurangnya ambil sedikit masa untuk berdoa kerana sesungguhnya orang yang tidak berdoa kepadaNya adalah termasuk kumpulan orang yang sombong, lagipun masa yang diambil tidaklah lama.

Jika sebelum ini kita tidak pernah menginfakkan wang dan harta kita ke jalan kebaikan, maka pada tahun ini ikhlaskanlah diri untuk mula menyumbang walaupun sedikit. Kalau malu diketahui orang, di dalam masjid, di dalam akhbar, di merata-rata tempat ada ditampalkan rujukan nombor akaun tabungan yang memerlukan sumbangan, asalkan kita siasat dahulu kebenarannya, kemudian bolehlah kita mula menyumbang, sesungguhnya tangan kiri pun tidak perlu tahu apa yang diberikan oleh tangan kanan.

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah ada bersabda, ” Lakukan kebaikan, Allah tidak akan berhenti memberi pahala dan jangan melakukan dosa kerana Allah tidak pernah lupa dan sesungguhnya Allah tidak mati. Oleh itu buatlah apa yang kamu suka tetapi ingat, bagaimana kamu perbuat bagitulah kamu akan diperbuat, “ - Riwayat Baihaqi.

Jika kita tinggal dalam sebuah taman, mungkin sebelum ini kita tidak pernah ambil peduli siapa jiran kita, tetapi sebenarnya untuk menjaga ukhwah dan silaturrahim dan demi kebaikan eloklah kita mengetahui siapa jiran kita dan berbuat-baiklah dengan mereka selagi ianya tidak mendatangkan mudarat dan kesalahan dari segi syarak. Mungkin pada satu masa nanti kita memerlukan atau mereka memerlukan khidmat kita. Alangkah untungnya kalau kita boleh berbakti, sesungguhnya Allah tidak akan memberi rahmat kepada mereka yang tidak menghormati atau memuliakan jirannya.

2. Maju juga bermaksud menambah baik apa yang kita lakukan
Pada tahun yang lalu atau dua minggu yang lalu kita mengerjakan solat tarawih hanya lapan rakaat sahaja maka marilah mulai sekarang kita lengkapkan menjadi dua puluh rakaat serta cukupkan dengan solat witir tiga rakaat lagi. Kalau tak mampu secara berjemaah, buatlah sendirian di rumah. Ambillah peluang yang masih ada kerana belum pasti tahun hadapan kita masih hidup dan masih sihat untuk mengerjakannya. Sesungguhnya lagi banyak rakaat yang kita buat lagi banyak masa yang kita ambil untuk sujud dan Allah itu amat hampir kepada orang yang selalu sujud kepadaNya.

Disamping itu juga kita boleh menambahkan jumlah sumbangan kita ke jalan Allah seperti membantu sekolah-sekolah agama atau persekolahan dan keperluan anak-anak yatim. Untuk golongan kaya atau berada bolehlah membuat sumbangan tetap setiap bulan kepada institusi-institusi berkaitan.

Contoh seterusnya ialah kita mengambil peluang untuk lebih menggiatkan diri ke arah kebaikan terutama bidang keagamaan di dalam masyarakat setempat dan lain-lain lagi.

3. Istilah maju juga bermaksud mengekalkan apa yang kita lakukan dan ianya dilakukan secara berterusan dari semasa ke semasa.

Apa juga perkara kebaikan yang kita lakukan ia hendaklah dibuat secara berterusan dan tidak akan berhenti selepas sesuatu tempoh tertentu. Sebagai contohnya, adalah kurang bermakna kalau kita hanya pulun sembahyang sunat dalam bulan Ramadhan sedangkan selepas itu kita balik ke asal iaitu meninggalkannya langsung. Kita seharusnya meneruskan amalan yang baik ini sampai bila-bila.

Kita juga dianjurkan agama supaya jangan berhenti membuat sumbangan kebajikan kerana pendapatan kita lazimnya akan bertambah setiap tahun. Sediakanlah peruntukan walaupun tidak sebanyak yang kita sumbangkan dalam bulan Ramadhan.
- = -
Perkara kedua yang disebutkan dalam hadis berkaitan ialah seruan para malaikat supaya semua yang melakukan kesalahan-kesalahan atau perkara-perkara buruk supaya berhenti dan berundurlah.

Apabila datang Ramadhan, kita perlulah mengambil peluang ini untuk berhenti daripada melakukan perkara-perkara salah yang dilarang agama serta yang tidak sesuai dengannya.

Sebagai orang Islam sudah semestinya kita tidak akan melakukan dosa-dosa besar dan apa-apa yang boleh mendatangkan bala bencana atau merosakkan sistem masyarakat kita samaada secara langsung atau tidak langsung seperti mencuri, merompak, membunuh, menipu , berjudi, bergaduh, berkelahi, makan riba , berzina, menganiaya dan makan harta anak yatim, rasuah, melakukan penderaan, menghina orang lain, bekerja secara pilih kasih atau sebagainya. Sayugia diingatkan bila sudah berhenti dari melakukannya dalam bulan Ramadhan janganlah pula kita ulangi kesalahan yang sama selepas berakhirnya bulan yang mulia ini, nanti akan sia-sialah ibadat kita..

Disamping kesalahan-kesalahan di atas, mari kita renungkan sejenak beberapa perkara sampingan yang boleh juga dikategorikan termasuk dalam seruan para malaikat tersebut.

Kadangkalanya setengah perkara itu dianggap kecil dan remeh tetapi kesannya adalah cukup besar sebenarnya.

1. Tidak menghormati orang yang lebih tua atau menyisihkan ibubapa.
Semua orang Islam perlu menghormati orang yang lebih tua terutama ibubapa samaada mereka sihat dan cukup di segi keperluan hidup seperti wang dan sebagainya apatah lagi kalau mereka dalam keadaan sakit dan memerlukan bantuan. Dalam banyak keadaan, ibubapa tidak memerlukan wang ringgit dan harta anak-anaknya tetapi belaian dan keperihatinan dari anak-anak, itulah yang lebih utama.

Rasulullah ada bersabda bahawa “ Tidak akan dirahmati Allah sesiapa yang tidak mengambil berat terhadap kedua ibubapanya. “ Kewajipan menghormati ibubapa ini tidak sahaja meliputi ibubapa yang beragama Islam tetapi juga meliputi ibubapa yang masih kekal dalam agama asal mereka cuma ada batas-batasnya yang tertentu.

2. Ketidakadilan layanan dalam keluarga.
Dalam institusi berkeluarga, ada keluarga yang besar dan ada keluarga yang kecil. Dalam keluarga yang besar, kadang-kadang secara tidak sedar terdapat ketidakadilan berlaku, terdapat perbezaan kasih sayang dan layanan kepada anak-anak. Keadaan ini boleh menyebabkan timbul rasa cemburu dan kecil hati yang boleh merenggangkan hubungan antara satu sama lain.

Sebagai ketua keluarga samaada ibu atau bapa, kita perlu selalu muhasabah diri supaya perkara sebegini tidak berlaku atau tidak dibiarkan berpanjangan. Setiap keluarga seharusnya tinggal dalam suasana yang harmoni sepanjang masa.

3. Berbelanja secara membazir.
Ketika Ramadhan akan berakhir dan Syawal pula akan menjelang tidak lama lagi ramai daripada kita akan berbelanja, tetapi adakalanya kita terlupa atau terlalai bahawa sebahagian daripada perbelanjaan yang dilakukan adalah tidak perlu dan membazir.

Sebagai contohnya, kita menukar perabut, alat hiasan rumah atau kereta walhal yang lama masih baru dan elok semata-mata kerana kita terpedaya dengan tawaran atau pujukan jurujual sementelahan kita ada wang. Kadang-kadang kita juga melakukannya kerana ingin dilihat lebih dan ingin berlumba-lumba bersaing dengan jiran dan rakan sedangkan kita perlu sedar bersaing sebegini dilarang oleh agama. Sia-sialah ibadat puasa dan pengorbanan sepanjang Ramadhan yang kita lakukan jika ada riak dan sombong walaupun sedikit dalam hati kita. Oleh itu berbelanjalah atas perkara-perkara yang benar-benar perlu sahaja.

4. Melakukan perkara baik tetapi masanya tidak sesuai
Adalah dituntut berhariraya dengan pakaian yang cantik antaranya untuk megelakkan fitnah dan rasa rendah diri antara ahli keluarga dan sesama jiran tetangga. Walaupun begitu ada masanya kita membeli belah pada masa yang tidak sesuai. Kita tidak sepatutnya masih berada di pasar raya atau atas jalan raya sedangkan pada waktu yang sama umat Islam yang lain sedang mengimarahkan masjid dan surau dengan solat tarawih dan lain-lain yang dituntut oleh agama. Jika masih ada keperluan eloklah diselesaikan waktu sianghari sahaja.

Di samping perkara-perkara di atas, banyak lagi yang boleh dijadikan landasan untuk sama-sama bermuhasabah siapakah diri kita. Oleh itu marilah kita segera berusaha melakukan yang terbaik sementara kita masih lagi hidup dan mempunyai kekuatan, kelebihan dan keupayaan dari segi tenaga dan lain-lain, semoga kita akan mendapat keberkatan bukan sahaja di dunia lebih-lebih lagi untuk kehidupan kita di akhirat nanti .

Jadikanlah Ramadhan tahun ini sebagai sebuah simpang dalam menentukan arah dan halatuju kehidupan kita seterusnya.

Sedihnya, Ya Allah! mengapa cepat sangat Ramadhan nak meninggalkan kami.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails