Sesiapa mempunyai artikel yang best serta bersesuaian mengenai Islam yang mahu disiarkan di sini beserta nama anda, sila emailkan kepada admin@loveloveislam.com

We Love Islam Followers

NoAds!"Love Love Islam" adalah sebuah blog non-commercial. Tiada Iklan. Blog ini diwujudkan untuk berdakwah dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Promosi dan iklankanlah "Love Love Islam" di blog anda atau di mana sahaja dengan niat untuk berdakwah. Terima Kasih. - Admin Love Love Islam

Thursday, December 15, 2011

Antara Ujian, Dosa dan Keampunan Tuhan.

AHMAD SYUKRI NAIM BIN MOHD TAHIR


Ya Allah, ampunkan segala dosa hambaMu ini.  Sesungguhnya hambaMu ini
jahil atas  segala perbuatan dosa yang pernah dilakukan dahulu. Hati
merintih tatkala melafaz doa memohon keampunan daripada Tuhan. Sayu
dan menyesal mengenangkan dosa-dosa silam yang pernah dilakukan oleh
hamba yang telah insaf.  Allah Maha Pengampun.  Walau sebanyak mana
pun dosa yang dilakukan oleh hamba-hambaNya, dengan rahmat dan sifat
PenyayangNya, Dia akan mengampunkan.  Sebagai hamba, hanya taubat
dapat menghapus segala dosa.

Ujian Tuhan datang dengan pelbagai cara.  Tidak kira sama ada kita
diuji dengan keseronokan atau dengan kesedihan.  Sebagai hamba yang
beriman, doa adalah senjata.  Allah juga tidak akan menguji hambanya
dengan beban yang sangat berat sehingga tidak mampu ditanggung.
Itulah janji Allah dalam Al-Quran,(maksudnya): “ Allah tidak
membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia
mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan dia
mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka
berdoa):”Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa
atau kami bersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada
kami bebanan yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang
yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankankan kepada
kami apa yang tak sanggup kami menanggungnya. Maafkanlah kami,
ampunilah kami, dan rahmatilah kami… (Surah Al-Baqarah :286).

Setiap ujian itu ada sebabnya.  Allah sentiasa menguji hamba-hambaNya
untuk meningkatkan keimanan dalam diri.  Allah tidak hanya membiarkan
hamba-hambaNya dibiarkan selesa dengan mendakwa mereka telah beriman
sedangkan ujian belum ditimpa kepada mereka.  Firman Allah
(maksudnya):  “Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan saja
mengatakan; “Kami beriman,” dan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya
Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka Allah pasti
mengetahui orang yang benar dan pasti mengetahui tentang orang yang
berdusta.” (Surah al-’Ankabut, ayat 2-3).


Naluri hamba kepada Tuhannya.  Tatkala dihimpit dengan kesempitan
hidup, terbeban dengan segala masalah,sakit walau sedikit, mengalami
kesukaran, panik dengan perkara yang mencemaskan, secara fitrahnya
fikirannya akan ingat kepada Tuhan. Hamba,  tidak mempunyai sebarang
kekuatan pun melainkan hanya Allah yang memberi segala keupayaan.
Hanya dengan mengingati Allah, jiwa akan menjadi tenang.  Hal inilah
yang difirmankan dalam kalamNya yang mulia iaitu Al-Quran (maksudnya )
“Orang  yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan
mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah  hati
menjadi tenteram. (Surah al-Ra`d:28)


Alangkah indah hidup mendapat kasih sayang dan reda Allah.  Mendapat
ketenangan hanya mengingati Allah.  Dapat menyelesaikan masalah dengan
pertolongan Allah.  Tatkala terjatuh, nama Allah yang disebut.  Ketika
sakit, bergantung penuh kepada Allah untuk menyembuhkan.  Kehidupan
ditempuh  dengan mengharapkan rahmat daripada Allah.  Segala-galanya
tidak putus daripada tali Allah yang dihulurkan kepada setiap hamba
yang senantiasa patuh dan tunduk dengan perintahNya.  Sebagai hamba
yang taat, tidak mungkin dia terlupa dengan doa dan ikrar yang
dilafazkan setiap kali solat .(maksudnya)  “Kepada Engkau kami sembah
dan kepada Engkau jua kami memohon pertolongan.Tunjukkanlah kami jalan
yang lurus.  Jalan orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka
dan bukan (jalan) yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang
sesat”. (Surah Al-Fatihah : 5-7)

Kesilapan, dosa, kelemahan dan ketidaksempurnaan akan sentiasa
membelenggu setiap hamba. Ditambah pula dengan godaan syaitan dan
nafsu yang sentiasa mengajak melakukan dosa, maka hamba yang lemah
akan hanyut.  Namun, sebaik-baik hamba, hamba yang bertaubat atas
segala dosa seperti sabda Rasulullah (maksudnya) :“Semua anak Adam itu
melakukan kesalahan. Sebaik-baik pelaku kesalahan itu ialah mereka
yang bertaubat” (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Sebagai manusia kita tidak sunyi daripada melakukan dosa.  Namun yang
pentingnya ialah menyesal dengan segala kesilapan yang pernah
dilakukan,tinggalkan segala perbuatan dosa tersebut dan berazam tidak
mengulanginya lagi.  Mohon ampunlah kepada Tuhan.Semoga Allah
mengampunkan.

Saat lidah melafaz ampun, hati merintih pilu dan jiwa yang tulus
memohon kemaafan Tuhan, maka air mata berlinangan tanda penyesalan
yang teramat sangat seiring perasaan takut akan penyeksaan daripada
Allah akibat dosa jika tidak diampunkan.  Mudah-mudahan air mata ini
yang memadamkan api neraka yang mahu membakar diri.

(Istighfar) : ASTAGHFIRULLAHAL\'AZIM, ALLAZI LA ILA HA ILLA HUAL
HAYYUL QAYYUMU WA ATU BU ILAIH.(maksudnya):\"Aku memohon ampun kepada
Allah Maha Besar, yang tidak ada Tuhan selain DIA, yang hidup dan
selalu jaga, dan aku bertaubat padaMU\".

1 comment:

Related Posts with Thumbnails