Sesiapa mempunyai artikel yang best serta bersesuaian mengenai Islam yang mahu disiarkan di sini beserta nama anda, sila emailkan kepada admin@loveloveislam.com

We Love Islam Followers

NoAds!"Love Love Islam" adalah sebuah blog non-commercial. Tiada Iklan. Blog ini diwujudkan untuk berdakwah dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Promosi dan iklankanlah "Love Love Islam" di blog anda atau di mana sahaja dengan niat untuk berdakwah. Terima Kasih. - Admin Love Love Islam

Saturday, December 17, 2011

Adilkah kita dalam menilai orang lain?

AHMAD SYUKRI NAIM BIN MOHD TAHIR

Dalam menyelusuri denai-denai kehidupan, manusia itu tidak akan
terlepas daripada bergaul dengan manusia yang lain.  Berkenalan,
berhubung dan seterusnya bersahabat menjadi salah satu rencah dalam
kehidupan.  Kadangkala, dalam pergaulan seharian dengan insan lain
juga menyebabkan timbulnya pelbagai perasaan dalam diri.  Kegembiraan,
kesedihan, kekecewaan, kemarahan dan ketenangan, datang dan pergi
silih berganti.  Tiada manusia yang boleh hidup tanpa orang lain dan
tiada manusia yang hidup tanpa perasaan.

Setiap hari seseorang manusia juga tetap akan berkomunikasi dengan
insan lain sama ada disedari atau tidak.  Malah, terdapat juga
larangan daripada Nabi SAW kepada umatnya yang tidak mahu bercakap
dengan orang lain walaupun sehari seperti sabdanya (maksudnya) "Tidak
ada keyatiman apabila telah bermimpi (sudah akil baligh) dan tidak
boleh berdiam (tidak berbicara) sehari sampai malam." (Hadis Riwayat
Abu Daud).

Seseorang insan, dalam menempuh kehidupan sehari-hari akan menemui
pelbagai perwatakan manusia.  Kadangkala setiap watak yang
dipersembahkan kepada kita membuatkan perasaan bercampur-baur timbul
dalam jiwa.  Malah kita akan keliru melihat setiap perwatakan yang
ditonjolkan.  Suka dan benci bertukar ganti.  Namun, begitulah manusia
ciptaan Tuhan.  Ada unsur baik dan ada juga unsur kurang baik yang
membentuk sikap individu.  Tiada manusia yang benar-benar sempurna.
Ada kelebihan dan ada kekurangannya.  Ada kebaikan dan tidak kurang
juga keburukan.

Amat menjengkelkan ada dalam kalangan rakan kita, apabila diminta
memberi pandangan mengenai seseorang, hanya perkara buruk sahaja yang
diceritakan.  Semua keaiban, kelemahan dan kekurangan didedahkan tanpa
disedari umpat dan cela yang didengari olehnya.  Maka, secara tidak
langsung persepsi dalam diri si pendengar akan terbentuk berdasarkan
apa yang didengarnya.  Adilkah hanya menyimpulkan perwatakan seseorang
dengan hanya menilai daripada sisi yang tidak baik sedangkan perkara
yang baik tidak didengarinya?

Sebagai insan yang berakal, kita hendaklah berfikir dan menilai
seseorang daripada neraca yang adil.  Jangan disebabkan hanya sedikit
kesilapan yang dilakukan, kita menafikan segala kebaikan yang ada pada
dirinya sehingga layak dianggap sebagai  ‘penyangak yang paling
jahat’.  Segala sifat baik langsung dilupakan seolah-olah tidak pernah
wujud dalam dirinya. Begitu juga sebaliknya, jangan disebabkan hanya
sedikit sahaja kebaikan yang dilakukan, kita menganggap dia sebagai
perwira yang sangat hebat, sedangkan pelbagai kerosakan dan kejahatan
pernah dilakukan olehnya.

Kata Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, “Jika kita melihat
kepada seseorang insan pada unsur baik semata, tentu kita akan
menilainya sebagai insan yang baik. Jika kita pula melihat di sudut
yang buruk semata, maka pasti kita akan menilai sebagai insan yang
buruk. Namun, jika kita melihat kedua unsur itu secara seimbang dan
adil, pasti kita akan dapat membuat kesimpulan yang betul”.(Prof.
Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Insaf Dalam Menilai Setiap Insan).

Manusia, kadangkala tersilap.  Mungkin sengaja, mungkin tidak
disengajakan.  Pada suatu masa, tidak mustahil pelaku kesilapan itu
akan berubah menjadi yang lebih baik.  Namun amat dikesali jika
seseorang tidak mahu berlaku adil dalam penilaian.  Kemaafan tidak
mahu dihulurkan tatkala diminta.  Malah, enggan juga bertemu dan
menatap wajah saudaranya walaupun sejenak.  Segala kesilapan lalu
diungkit kembali.  Segala kebaikan dilupakan.  Lantas, di sinilah
syaitan mula menyuntik jarum hasutan dengan menyuburkan sifat sombong.
Sebagai orang beriman yang mengasihi saudaranya, jauhilah sifat
sombong kerana sifat ini akan menjadi penghalang seseorang menuju ke
syurga.  Sabda Nabi SAW (maksudnya), “Tidak masuk syurga orang yang
dalam hati ada kesombongan meskipun hanya sebiji sawi”.(Hadis Riwayat
Muslim).

Prasangka buruk adalah sifat yang boleh menjadi racun berbisa yang
akan memusnahkan jiwa nurani seseorang insan.  Silaturahim yang
terputus amat sukar untuk diikat kembali jika sifat ini terus menjalar
dalam saluran urat nadi perasaan manusia.  Apatah lagi jika menyangka
seseorang yang memohon maaf dan menunjukkan budi pekerti yang baik itu
hipokrit kerana ingin mengambil hati semata-mata.  Hanya Allah yang
mengetahui apa yang ada dalam hati hambanya.  Dalam memafkan dan
menerima semula seseorang sebagai sahabat, hindarilah diri daripada
menyimpan dendam dan prasangka buruk.  Ikhlaskan hati dengan
menyuburkan sangkaan baik terhadap orang yang pernah melakukan
kesilapan, insaf dengan segala perbuatan dan memohon maaf kepada kita.
Berwaspada perlu, tetapi jangan bersangka buruk.  Firman Allah
(maksudnya), “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan
daripada prasangka kerana sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa,
dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah
ada antara kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang
daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Tentu
kamu berasa jijik...”(Surah al-Hujurat ayat: 12).


Allah menciptakan malaikat yang sentiasa tunduk dan patuh kepada
perintah Allah tanpa melakukan dosa.  Allah juga menciptakan syaitan
yang derhaka dan selalu melakukan kejahatan.  Manusia bukanlah
malaikat atau syaitan.  Kita diciptakan dengan adanya dua sifat iaitu
sifat yang baik dan jahat.  Di sini, penilaian yang seimbang dan
harmoni perlu dibuat agar kesimpulan yang adil dapat diperolehi.
Dalam menilai seseorang, jangan hanya memandang dari satu sudut
sahaja, pertimbangkan kedua-dua sifat tersebut tanpa dipengaruhi
dengan prasangka buruk, di samping berwaspada, sifat yang dominan
itulah jawapannya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails