Sesiapa mempunyai artikel yang best serta bersesuaian mengenai Islam yang mahu disiarkan di sini beserta nama anda, sila emailkan kepada admin@loveloveislam.com

We Love Islam Followers

NoAds!"Love Love Islam" adalah sebuah blog non-commercial. Tiada Iklan. Blog ini diwujudkan untuk berdakwah dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Promosi dan iklankanlah "Love Love Islam" di blog anda atau di mana sahaja dengan niat untuk berdakwah. Terima Kasih. - Admin Love Love Islam

Friday, October 1, 2010

Menutup aurat

Islam menggariskan aurat wanita melibatkan seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua telapak tangan. Namun, ramai kalangan wanita Muslim gagal menutup aurat dengan sempurna sebagaimana dituntut syariat.

Walaupun menutup kepala dengan pelbagai fesyen tudung, tetapi pada masa sama mereka menonjolkan potongan tubuh badan kepada awam.

Entah di mana silapnya, wanita sekarang seolah-olah keliru dan dalam dilema antara tuntutan hukum dengan realiti dalam masyarakat.

Kemunculan pelbagai fesyen dewasa ini membuktikan mereka bijak berfesyen, namun pada masa sama mengetepikan soal aurat yang tidak seharusnya didedahkan atau dibuka di hadapan orang yang tidak halal dilihat kepadanya.

Sebagai Muslimah, tidak salah untuk berfesyen, tetapi biarlah fesyen sama ada pakaian mahupun tudung yang diperagakan itu tidak keterlaluan dan boleh menimbulkan fitnah.

Sebenarnya, kecantikan seorang wanita terletak pada sejauh mana ketaatannya kepada Allah SWT, bukannya merasakan kaum lelaki tertawan disebabkan rupa parasnya semata-mata tanpa melihat kepada unsur-unsur keagamaan dalam dirinya.

Islam sebenarnya tidak menetapkan pakaian khusus untuk wanita Islam. Asalkan pakaian yang digayakan itu longgar, tidak jarang, tidak terlalu menarik perhatian (glamour), tidak menyerupai jantina lain dan tidak menyerupai simbolik agama lain, boleh dipakai oleh wanita itu.

Bagaimanapun tidak semua Muslimah berpakaian mendedahkan aurat. Mungkin golongan terbabit tidak memahami tuntutan agama dan hanya tahu pakaian yang digayakan itu satu fesyen sahaja tanpa mengambil kira kehendak Islam itu sendiri.

Jika mereka memahami bahawa hukum menutup aurat adalah wajib, maka tidak timbul situasi wanita berpakaian seksi, sebaliknya Malaysia mampu melahirkan lebih ramai Muslimah sejati serta dapat menjadi hamba terbaik di sisi Allah.

Penulis sendiri pun pun tertanya-tanya mengapa kita kurang pereka busana Muslimah dalam negara. Bukan tidak ada yang mereka cipta pakaian begitu, ada, cuma tidak sekencang pereka fesyen yang menampilkan rekaan untuk peragaan pentas atau majlis-majlis gah seperti digayakan artis, model, orang kenamaan dan golongan berwang.

Mungkin kerana terlalu mengejar keuntungan, nama dan mahukan perhatian segera menyebabkan individu berbakat dalam bidang rekaan fesyen memilih untuk bergelar pereka fesyen moden dan kontemporari.

Tambahan pula, ada kalangan mereka beranggapan sumber pendapatan (rezeki) tidak sehebat berbanding mencipta gaya fesyen terkini. Pengakhirannya, rekaan moden dan stylo menjadi pilihan.

Dalam Islam, apa yang berlaku kehendak Allah. Begitu juga dengan rezeki. Sama ada sedikit atau banyak, bersyukurlah kerana sesungguhnya rezeki itu adalah daripada Allah. Allah yang maha mengetahui segala-galanya mengapa diberinya kadar rezeki kita berbeza-beza setiap hari.

Begitu juga dengan pereka pakaian Muslimah, mereka tidak perlu gusar jika pendapatan tidak seperti yang dimahukan dan bimbang jika gagal bersaing dengan pereka fesyen lain. Itu adalah ujian daripada Allah. Sebagai umat-Nya, mereka perlu ingat, jika menerima rezeki, bersyukurlah dengan memperbanyakkan ibadat, moga Allah akan tambah rezekinya lagi.

Surah 29 Al-Ankabut ayat 62 “Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hambanya dan Dia yang menyempitkan baginya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu.”

Sementara itu, aurat lelaki adalah di antara pusat hingga ke lutut. Aurat lelaki lebih longgar daripada aurat wanita. Namun, lelaki tidak boleh meremeh-remehkan tuntutan menutup aurat. Lelaki yang tidak memakai baju perlu menjaga agar tidak menampakkan aurat mereka.

Hikmah di sebalik menutup aurat ialah dapat mengelakkan kejahatan, maksiat dan menjaga maruah serta harga diri. Oleh itu, cara berpakaian lelaki juga mesti memenuhi tujuan tersebut.

Mempamerkan tubuh bukan merupakan satu kesalahan pada asalnya kerana bukan merupakan aurat. Walau bagaimanapun dikhuatiri boleh menjurus kepada perkara kejahatan sekiranya mempamerkan tubuh dengan aksi dan gaya yang tidak sepatutnya untuk tatapan umum tanpa rasa malu apatah lagi sehingga menyalahi hikmah menutup aurat.

2 comments:

Related Posts with Thumbnails