Peperangan
menentang hawa nafsu adalah merupakan satu bentuk pengorbanan yang
paling besar untuk membentuk jati diri sendiri dan kemaslahatan umat.
Perangi
hawa nafsu menuntut kesabaran yang tinggi dan ketaqwaan yang teguh
dalam mendidik jiwa sentiasa beristiqamah melakukan kebaikan dan
menjauhi segala bentuk kejahatan.
Perkara
ini jelas disebutkan di dalam ayat al-Quran, “Dan sungguh akan Kami
berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan
harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada
orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa
musibah, mereka mengucapkan: ‘Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun’.
Mereka
itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan
mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (Surah
al-Baqarah ayat 155-157)
Perangi hawa nafsu adalah merupakan perjuangan yang paling besar. Ia adalah utama dari peperangan mempertahankan diri.
Hal
ini bersesuaian dengan maksud sabda Rasulullah s.a.w ketika baginda
pulang dari peperangan Badr, “Kita baru saja kembali dari jihad kecil
menuju jihad yang besar. Para sahabat bertanya, “Apa jihad besar itu?,
Nabi SAW menjawab, “Jihaad al-qalbi (jihad hati).
Setiap
orang juga berpotensi memilliki keinginan untuk membuat kejahatan atau
lebih dikenali sebagai hawa nafsu. Ini merupakan musuh utama anak adam
dari syaitan.
Dengan
ini kekuatan syaitan terletak pada hawa nafsu dan kelemahan manusia
adalah berpunca daripada godaannya. Hawa nafsu selalu mengajak manusia
kepada kemungkaran dan jika kita menuruti bisikannya, maka pasti kita
akan menempuh kebinasaan.
Perkara
ini telah dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam ayat al-Quran, “Kemudian
menggantilah selepas mereka pengganti-pengganti yang mensia-siakan
solat, dan mengikuti hawa nafsu (syahwat); maka mereka akan menemui
kesesatan.” (Surah Maryam, 59)
Kehidupan
adalah satu bentuk perjuangan melawan hawa nafsu. Sesiapa yang mampu
melawan hawa nafsu, maka Allah akan memberikannya kemenangan dan
dipermudahkan segala urusan. Inilah rahsia untuk mendapat pembelaan dari
Allah S.W.T.
Abu
Hamid Imam al- Ghazali menyebut terdapat tiga bentuk perlawanan manusia
terhadap hawa nafsu, iaitu Nafs al-Muthmainnah, Nafs al-Lawwamah, dan
Nafs al-Ammarah al-Suu’.
Nafs
al-Muthmainnah merupakan nafsu yang tenang yang mana ketika iman menang
melawan hawa nafsu, sehingga perbuatan manusia tersebut lebih banyak
yang baik daripada yang buruk. Dengan kata lain mereka yang mampu
menguasai terhadap hawa nafsunya.
Manakala
Nafs al-Lawwamah ialah nafsu yang gelisah dan menyesali dirinya
sendiri. Keadaannya adalah ketika iman kadangkala menang dan kadangkala
kalah melawan hawa nafsu, sehingga manusia tersebut perbuatan baiknya
relatif seimbang dengan perbuatan buruknya. Mereka yang sentiasa dalam
bertarik tali melawan hawa nafsu.
Adakalanya
dia menang dan ada kalanya kalah. inilah orang yang sedang berjuang
(mujahadah). Mereka ini menunaikan apa yang diperintahkan oleh Nabi
Muhammad melalui sabdanya yang bermaksud: ”Berjuanglah kamu melawan hawa
nafsumu sebagaimana kamu berjuang melawan musuh-musuhmu.
Nafsu
yang ketiga adalah Nafs al-Ammaarah al-Suu’ iaitu nafsu yang mengajak
kepada keburukan. Keadaanya adalah Ketika iman kalah dibandingkan dengan
hawa nafsu, sehingga manusia tersebut lebih banyak berbuat yang buruk
daripada yang baik. Mereka inilah yang hawa nafsu sepenuhnya telah
dikuasai dan tidak dapat melawannya sama sekali.
Namun,
dewasa ini, seringkali kita mendengar berita-berita tentang gejala
sosial. Penyakit ini sebenarnya telah menular dalam kalangan masyarakat.
Pelbagai kes dilaporkan setiap hari mengenai jenayah yang dilakukan,
antaranya kes penderaan kanak-kanak, pembuangan bayi, samun, rogol,
bunuh dan pelbagai kes yang melibatkan undang-undang negara.
Namun
persoalannya, mengapa kes seperti ini semakin menjadi-jadi? Sudah tentu
masyarakat terbiasa menjadikan hawa nafsu sebagai satu ikutan tanpa
memikirkan kesan yang akan dihadapi oleh diri mereka sendiri.
Perkara
ini dinyatakan oleh sebahagian orang bijak “Barang siapa menyirami
anggota badannya dengan hawa nafsu, maka ia menanam pohon penyesalan
dalam hatinya.” [Imam Al-Ghazali, Mukâsyafah al-Qulûb, h. 17]
Kehidupan
yang berlandaskan syariat mampu menjamin kebahagiaan di dunia dan
akhirat. Perangi hawa nafsu mampu memberi jaminan kebahagiaan kehidupan.
Jaminan kebahagiaan ini adalah ditentukan oleh diri sendiri kerana diri
sendiri berhak memilih jalan yang harus ditempuh.
Jika
jalan yang diambil adalah jalan kebahagiaan di akhirat, maka sudah
pasti kebahagiaan dunia akan dapat dikecapi oleh setiap individu muslim.
Perkara ini disebut oleh Allah s,w,t di dalam ayat al-Quran,
“Barang
siapa beramal soleh sama ada lelaki dan wania sedang dia mukmin, maka
Kami akan hidupkan dia dengan kehidupan yang baik (bahagia) dan Kami
akan tunaikan kepada mereka dengan ganjaran mereka yang lebih baik dari
apa yang mereka kerjakan.”(An-Nahl: 97)
Cerminan
hati juga diukur dari sudut ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Hati
dilahirkan fitrah dan suci serta menjadi kewajipan kepada hamba-hambaNya
mengisi kekosongan hati dengan beribadah kepadanya.
Pengisian
jiwa dengan syariat Islam serta keindahan akhlak Islam mampu mendidik
hati melawan diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar yang
ditegah oleh Allah s.w.t. Setiap muslim harus melaksanakan
tuntutan-tuntan Allah s.w.t..
Kewajipan
ini dinyatakan oleh Allah Taala dalam surah al-Imran ayat 104, “Dan
hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada
kebajikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah dari yang mungkar,
merekalah orang-orang beriman.”
Istiqamah
dalam melakukan amalan-amalan kebaikan mampu menghindarkan diri
daripada terjerumus ke dalam kancah kebinasaan. Diri mampu terdidik
dengan kebiasaan melakukan kebaikan dan merasa akan sentiasa perlu
menjaga hati daripada segala bentuk kemaksiatan.
Istiqamah
dalam penjagaan diri dan hati perlu diselaraskan dengan panduan
pegangan agama agar kehidupan mendapat rahmat dan keberkatan daripada
Allah.
Di
dalam surah Hud ayat 12, Allah s.w.t berfirman, “Maka beristiqamahlah
kamu sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah
bertaubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya
Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”
Kesimpulannya,
peperangan melawan hawa nafsu merupakan peperangan yang paling utama
kerana ia melibatkan penjagaan hati, diri dan iman.
Setiap
Muslim berkewajipan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai hamba
Allah dengan menjaga anugerah diri dan hati sebaik mungkin. Dengan
memerangi hawa nafsu, kehidupan akan mendapat keberkatan dan kerahmatan
daripada Allah.
Seperti
firman Allah S.W.T yang bermaksud, “Mereka bersukacita (bergirang hati)
kerana memperoleh nikmat dan kurnia dari Allah. Dan (kerana)
sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan ganjaran orang-orang yang
beriman.” (Ali-Imran: 171)
Tulisan Nusaibah Mimi
Assalamualaikum, izin copas ye.
ReplyDelete